Friday, October 29, 2010

Keduapuluh..

Salam.
Aku selalu ada masalah apabila berhadapan komputer, aku tidak tahu apa yang hendak ditaip.
Tetapi terasa sangat mahu menaip apabila di hadapan aku tiada komputer.
Selepas ini, apa sahaja peristiwa yang berlaku, aku perlu membuat sedikit catatan agar aku tidak lupa.
Tetapi sesuatu perkara itu akan terlintas di fikiran apabila aku sedang memandu.
Jadi, aku pasti aku akan lupa apa yang terlintas di fikiran apabila tidak memandu.
Dan apa yang pasti, mungkin terlalu banyak perkara yang terlintas di fikiran sehingga tidak tahu apa yang hendak dicoretkan di sini.
Selamat berhujung minggu.
Sekian untuk kali ini.

Thursday, October 28, 2010

Kesembilanbelas..

Salam.
Sungguh aku tidak faham mengapa dia bersikap begitu.
Salahkah aku berkecil hati dengan sikap dia?
Sekian untuk kali ini.

Wednesday, October 27, 2010

Kelapanbelas..

Salam.
Aku sangat rimas apabila soalan yang aku aju dijawab dengan jawapan yang langsung tidak ada kaitan.
Walhal, aku telah mengajukan soalan itu dengan jelas.
Ya aku yakin soalan aku jelas dan mudah difahami.
Sekali dua, aku fikir mungkin soalan aku tidak jelas tetapi jika sudah berkali-kali, apakah maknanya itu?
Tidak memahami soalan aku atau tidak mendengar soalan aku.
Sungguh aku tidak faham.
Percakapan aku dan dia seperti ayam dengan itik.
Sudahnya aku mengiyakan sahaja apa yang diperkatakan.
Sekian untuk kali ini.

Ketujuhbelas..

Salam.
Pagi ini hujan turun agak lebat.
Aku keluar awal dari rumah tetapi terpaksa memandu kereta agak perlahan kerana jalan licin dan air bertakung di sana sini.
Jadi, aku tiba di tempat kerja sama seperti biasa.
Kenapa ya dua tiga hari kebelakangan ini, hati aku sering gundah?
Sekian untuk kali ini.

Tuesday, October 26, 2010

Keenambelas..

Salam.
Hati ini sering terluka.
Aku memerlukan kekuatan untuk meninggalkan dia.
Tetapi sanggupkah aku?
Aku tidak sanggup melukakan hatinya.
Biarlah hati aku yang terluka.
Sekian untuk kali ini.

Monday, October 25, 2010

Kelimabelas..

Salam.
Pejam celik pejam celik, bulan Oktober sudah sampai ke penghujungnya.
Ada banyak sangat perkara yang masih belum selesai.
Aku diburu oleh masa.
Masa yang semakin suntuk.
Masa yang semakin mencemburui aku.
Sekian untuk kali ini.

Friday, October 22, 2010

Keempatbelas..

Salam.
Hati aku terluka lagi.
Terluka dengan sikap dia.
Setiap kali aku berkawan dengan seseorang, hubungan itu tidak akan kekal lama.
Akukah yang bersalah?
Aku telah cuba sebaik mungkin untuk mempertahankan hubungan ini.
Tetapi aku pasti hubungan ini tidak akan ke mana-mana.
Namun, aku tetap berserah kepadaNya untuk memberi aku jodoh yang terbaik.
Sekian untuk kali ini.

Thursday, October 21, 2010

Ketigabelas..

Salam.
Aku hanyalah insan yang lemah yang hanya mampu berserah kepadaNya.
Kejujuran manusia tidak mampu aku terjemahkan dengan mudah.
Hanya kepadaMu aku berserah.
Hanya kepadaMu aku memohon pertolongan.
Aku pasrah.
Sekian untuk kali ini.

Wednesday, October 20, 2010

Keduabelas..

Salam.


Pagi tadi aku mendengar lagu bertajuk Cukuplah Sekali.
Aku suka lagu ini.
Boleh menangis jika hati sedang dilanda keresahan.

*******************************************
Di saat kupinta keputusanmu
Kau masih menanyakan semalamku
Bertanya tentang dia dan kehebatannya
Sedangkan segalanya telah engkau tahu
Tiada rahsia hidupku

(1)
Di saat kulahirkan kekesalan
Sengaja kau mengambil kesempatan
Mengungkit perbuatan dan keterlanjuran
Kau ulang bercerita tentang hati luka
Membuat kurasa berdosa

(2)
Demi masa depan yang kita mimpikan
Hapuskanlah kenangan yang mengusik perasaan
Tiap kali memandangmu tak terhingga kesalku
Maafkan aku sayang menodai kepercayaanmu

Andainya kudapat menarik kembali
Detik-detik hitam yang berlalu
Kesilapan serupa tak akan kuulangi
Cukuplah sekali menyakitimu
Cukuplah sekali kau membenciku

(ulang 1 & 2)



*******************************************
Sekian untuk kali ini.

Kesebelas..

Salam.
Sungguh aku tidak faham dengan sikap dia.
Akukah yang bersalah?
Sekian untuk kali ini.

Tuesday, October 19, 2010

Kesepuluh..

Salam.
Sampai satu tahap aku rasa sangat malas untuk menghadapi karenah manusia yang kadang-kadang suka berlagak tahu semua perkara.
Aku sangat benci untuk menghadapi situasi begini.
Tetapi apakan daya.
Aku perlu menghadapinya dengan hati yang tabah.
Jika aku kurang menyenangi sikap seseorang, aku cuma abaikan dia daripada diari hidup aku.
Kalau dia bercakap dengan aku, aku tidak akan memberi sepenuh perhatian.
Jadi, jangan marah aku kerana bukan aku suka-suka untuk tidak suka kepada seseorang tetapi berpunca daripada sikapnya yang tidak menyenangkan aku.
Salahkah aku jika berperangai begini?
Sekian untuk kali ini.

Monday, October 18, 2010

Kesembilan..

Salam..
Alhamdulillah.
Iklan dah keluar.
Seronok sangat.
Harap-harap ada rezeki aku.
Hampir pukul 1.00 tengah hari / petang sekarang ini, jom rehat.
Jangan lupa solat.
Sekian untuk kali ini.

Kelapan..

Salam.
Dalam hidup ini, terlalu banyak dugaan yang harus aku tempuh.
Aku bersyukur kerana di saat dan ketika ini aku masih lagi bernafas dan berpijak di bumi ini.
Inilah nikmat yang aku perlu syukuri.
Ingatlah, tujuan kita hidup di dunia ini adalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T.
Tanpa iman dan akal yang dikurniakan, aku pasti akan tersasar jauh daripada landasan.
Ingatlah Allah itu Maha Mengetahui!
Allah tidak akan menduga hambaNya dengan dugaan yang tidak tertanggung oleh hambaNya.
Setiap dugaan pasti ada hikmah di sebaliknya.
Sekian untuk kali ini.

Ketujuh..

Salam.
Anda pernah bermimpi?
Tentu pernah bukan?
Baru-baru ini aku telah bermimpi.
Agak aneh tetapi mimpi kan mainan tidur.
Aku telah bermimpi aku menunggu ketibaan kapal terbang.
Dalam mimpi tersebut, aku tidak berada di lapangan terbang.
Sebaliknya, aku berada di jalan raya.
Aku menunggu kapal terbang di laluan kenderaan darat!
Ape maksud mimpi itu ye?
Sampai hari ini, aku akan ketawa apabila mengenangkan kembali mimpi tersebut.
Sekian untuk kali ini.

Friday, October 15, 2010

Keenam..

Salam.
Dalam hati ini tertanya-tanya sama ada nukilan kenangan aku ini dibaca oleh orang lain atau tidak?
Terus terang aku katakan, aku mahu berkongsi kenangan aku dengan orang lain tetapi pada masa yang sama aku tidak mahu dikenali.
Aku lebih gemar bekerja di belakang tabir kerana aku seorang yang agak pemalu.
Jika dibandingkan dengan blog lain, mungkin blog aku ini tidak berjaya menarik orang lain untuk singgah dan menjadi pembaca setia blog ini.
Tetapi aku berpegang kepada niat aku semasa memulakan blog ini iaitu aku ingin berkongsi kenangan aku yang mungkin boleh dijadikan iktibar supaya ia tidak berlaku kepada anda.
Sekian untuk kali ini.

Kelima..

Salam.
Hari aku hendak menaip mengenai drama yang mengisi Slot Akasia TV3 pada jam 6.30 petang.
Jujurnya, aku tidak menyukai pelakon yang bernama Fasha Sandha.
Apa yang membuatkan aku menonton drama tersebut adalah kerana aku hendak tahu bagaimana pengakhiran drama tersebut.
Dan juga kerana pelakon yang bernama Adi Putra.
Pada mulanya aku memang tidak mahu menonton drama tersebut tetapi dek kerana insan yang bernama Adi Putra, aku memaksa diri untuk menonton drama tersebut.
Ya, penangan Adi Putra.
Sekian untuk kali ini.

Thursday, October 14, 2010

Keempat..

Salam.
Kebelakangan ini aku selalu lewat ke tempat kerja.
Walaupun begitu, aku masih tiba sebelum pukul 8 pagi.
Cuma aku perlu memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi untuk sampai ke destinasi sebelum waktu yang ditetapkan.
Aku tidak suka situasi begini.
Apabila memandu terlalu laju, sudah tentu akan membahayakan nyawa aku dan juga orang lain.
Dan yang paling menyusahkan adalah peningkatan kos minyak.
Selepas ini, aku berharap aku akan keluar dari rumah awal sedikit daripada waktu biasa bagi mengelakkan aku memandu kereta dengan kelajuan yang tinggi.
Sekian untuk kali ini.

Wednesday, October 13, 2010

Ketiga..

Salam.
Wajarkah seorang guru mengeluarkan kata-kata yang kurang menyenangkan kepada anak didiknya?
Wajarkah perkataan seperti bangang dan haprak dilontarkan kepada anak didiknya?
Ya, sebagai manusia, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan seperti itu tetapi sebagai seorang guru yang berwibawa dan berdedikasi, perkataan seperti itu tidak wajar dilontarkan kepada anak didik.
Guru hari ini tidak seperti guru-guru saya sedikit waktu dahulu, bersemangat mengajar tanpa rasa jemu.
Ini hanyalah pendapat saya yang tidak seberapa.
Untuk makluman anda, saya bukanlah seorang guru.
Sekian untuk kali ini.

Kedua..

Salam.
Kenapa ya apabila perkara yang berkaitan cinta, ia mesti akan dikaitkan dengan airmata?
Cinta yang dimaksudkan di sini adalah subjektif. Bukan hanya cinta kepada kekasih hati ya.
Sekian untuk kali ini.

Tuesday, October 12, 2010

Pertama..

Salam.
Hari ini merupakan hari pertama aku menulis.
Dalam blog ini, aku akan berkongsi peristiwa yang berlaku di sekeliling aku walau tidak banyak sedikit pun jadi juga kan?
Aku bukan seorang yang pandai berfalsafah atau bermadah tetapi aku akan cuba untuk menggunakan ejaan yang penuh dan juga bahasa yang mudah untuk dibaca walaupun jari aku meronta untuk menaip menggunakan bahasa sms.
Sekian untuk kali ini.